Dari : http://buletinonline.net
Lima negeri Pakatan Rakyat sepakat mahu media massa terutama media elektronik bersikap adil dan memberi ruang untuk menghebahkan aktiviti negeri.
Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin menuntut Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) memberikan slot program untuk menghebahkan dasar dan polisi baru kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
“Rakyat perlu tahu apa yang kerajaan negeri baru lakukan untuk mereka dan satu caranya media elektronik perlu membantu kita,” katanya selepas Majlis Pidato Pakatan Rakyat semalam.
Majlis yang dihadiri 15,000 penyokong Pakatan Rakyat adalah sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih pemimpin ketiga-tiga parti itu yang menyokong mereka dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang mewakili Menteri Besar.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Husam dalam ucapannya yang mahu lima kerajaan negeri itu diberikan lesen untuk melancarkan stesen radio dan televisyen.
Agensi Bernama memetik Mohammad Nizar berkata, tidak ada cara lain untuk menghebahkan kepada rakyat dalam jumlah yang besar, mengenai dasar kerajaan negeri yang baru selain media elektronik, dan mereka akan memohon RTM memperuntukkan satu slot program selama sejam.
Katanya program “Bersama YAB” yang disiarkan RTM sebelum ini perlu diteruskan kerana program berkenaan memberi peluang kepada Exco kerajaan negeri atau wakil rakyat berinteraksi dan menjelaskan visi serta misi kepada rakyat dalam kelompok yang lebih besar.